REFLEKSI

Minggu 1

Tugasan minggu pertama ialah Penggunaan Enjin pencari Bahan Bahasa Melayu yang merangkumi pencarian menggunakan web, video, audio, dan imej. Pencarian ini dilaksanakan dengan menggunakan kata kunci, frasa yang sesuai untuk mendapatkan bahan pengajaran Bahasa Melayu. Seterusnya, setiap bahan yang diperoleh juga telah disimpan dalam bentuk fail internet dan katalog internet. 


Sepanjang pelaksanaan tugasan tersebut, kami telah dibimbing oleh Encik Mohd. Firdaus B. Abdul Salam selaku pensyarah pembimbing dalam mata pelajaran BMM3053 ini. Pelbagai ilmu dan tunjuk ajar yang telah dicurahkan sepanjang melaksanakan tugasan minggu pertama ini. Selain itu, tunjuk ajar daripada rakan seperjuangan yang lain juga tidak dilupakan dan amat dihargai. 



Minggu 2

Tugasan minggu kedua pula adalah pencarian bahan bantu mengajar bahasa Melayu bagi ketiga-tiga kemahiran bahasa iaitu kemahiran membaca, kemahiran lisan (Mendengar dan Bertutur), dan kemahiran menulis. Tugasan tersebut merangkumi pembinaan satu folder bagi setiap kemahiran (mendengar& bertutur, membaca dan menulis), dan bagi setiap objektif kemahiran, hendaklah  mencari dua bahan yang sesuai dan disimpan dalam bentuk katalog internet. Objektif pengajaran adalah berpandukan Dokumen Standard Bahasa Melayu Sekolah Rendah.


Saya telah memilih bahan pengajaran untuk murid Tahun 1. Sepanjang melaksanakan tugasan untuk minggu kedua ini antara kekangan yang dihadapi adalah gangguan talian internet. Keadaan ini agak menyukarkan tugasan minggu kedua ini dilaksanakan kerana memerlukan pelbagai bahan untuk dimuat naik seperti gambar, audio, dan video. Namun begitu, permasalahan ini dapat diselesaikan atas bantuan rakan seperjuangan yang lain. Pensyarah pembimbing bagi mata pelajaran ini turut banyak membantu dalam pelaksanaan tugasan minggu kedua ini.

Penggunaan bahan yang bersesuaian amat penting untuk seseorang guru itu melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana, dalam pengajaran tanpa bahan yang sesuai akan mewujudkan kebosanan dalam diri setiap murid. Oleh itu, sebagai guru haruslah bijak dalam menangani isu ini. Sudah terang lagi bersuluh akan objektif pangajaran seseorang guru itu adalah untuk memberikan ilmu pengetahuan kepada setiap murid. Justeru, tanggungjawab guru menyediakan keperluan untuk murid agar dapat menarik minat murid dalam mengikuti pembelajaran seterusnya memberikan tindak balas terhadap pengajaran guru.  


Minggu 3

Bagi tugasan minggu ketiga merupakan tugasan memuat turun garis panduan dan etika penggunaan internet dan Hak Cipta. Kedua-dua bahan yang telah dimuat turun hendaklah dipindahkan sama ada dalam bentuk brosur atau power point. Tugasan ini adalah sebagai pendedahan kepada guru pelatih tentang kepentingan pengetahuan tatacara penggunaan internet yang betul. Walaupun penggunaan internet meliputi ruang lingkup yang bebas sebagai manusia bertanggungjawab, kita tidak seharusnya menyalahgunakan penggunaan internet tersebut dengan sewenangnya. Begitu juga denagn Hak Cipta. Peniruan sesuatu karya orang lain merupakan perkara yang dianggap jenayah. Oleh itu, pendedahan tentang hal ini amat penting untuk dititikberatkan oleh setiap lapisan masyarakat. 

Saya telah memilih untuk memindahkan Etika Penggunaan Internet dalam bentuk brosur dan Hak cipta dalam bentuk power point. Dalam melaksanakan tugasan minggu ketiga ini, pelbagai pengetahuan baharu telah saya peroleh bermula dari isi pembelajaran mengenai etika penggunaan internet hinggalah kepada proses memindahkan maklumat daripada kedua-dua bahan tersebut ke dalam bentuk brosur dan power point. Rakan-rakan seperjuangan dan pensyarah pembimbing En. Mohd Firdaus Bin Abd. Salam memberikan tunjuk ajar yang sangat berguna dan bermanfaat. 

Sebagai seorang guru pelatih, pengetahuan ini sangat membantu terutama dalam menyediakan sebarang tugasan yang diarahkan oleh setiap pensyarah. Hal ini kerana, dalam pencarian bahan tugasan, tidak seharusnya guru pelatih itu, mengambil dengan sewenangnya bahan yang diperlukan. Pernyataan sumber merupakan salah satu cara yang terbaik bagi mengelakkan guru pelatih terlibat dengan kesalahan peniruan hak cipta karya atau tulisan seseorang. 


Minggu 4

Tugasan minggu keempat merupakan tugasan mengedit video. Setiap pelajar diarahkan untuk mengedit video asal cerita Bawang Putih dan Bawang Merah menggunakan perisian Wondershare. Dalam pelaksanaan tugasan ini pelajar telah dibimbing oleh En. Firdaus B. Abd. Salam selaku pensyarah pembimbing bagi mata pelajaran BMM3053 ini. Pelbagai pengetahuan baharu yang diperoleh sepanjang pelaksanaan tugasan ini dijalankan. Pensyarah pembimbing turut memberikan tunjuk ajar yang sangat berguna tanpa berputus asa dengan pelbagai persoalan yang dikemukakan oleh setiap pelajar dalam menyelesaikan tugasan ini.

Antara proses yang dijalankan semasa mengedit video ini adalah meletakkan lirik lagu dalam video tersebut, memotong mana-mana bahagian video yang tidak diperlukan, memasukkan beberapa aplikasi seperti pembuka dan penutup video tersebut serta memasukkan animasi yang bersesuaian dalam video tersebut. Akhir sekali adalah memindahkan video yang telah selesai diedit ke dalam aplikasi video yang boleh digunakan seperti VLC, CINEMA, MP3, MP4, dan sebagainya mengikut pilihan kendiri setiap pelajar. 

Penggunaan bahan bantu mengajar berunsurkan video atau cerita zaman dahulu secara tidak langsung dapat memberikan rangsangan yang berguna kepada setiap murid. Selain itu, murid masa kini juga dapat didedahkan dengan cara kehidupan masyarakat dahulu semasa sesi soal jawab antara guru dan murid selepas menonton bahan pengajaran tersebut. Pembelajaran konstruktivisme juga dapat diaplikasikan dengan penggunaan bahan ini. Murid dapat memberikan idea berdasarkan pemikiran kognitif masing-masing dan dikaitkan dengan pengalaman sedia ada mereka melalui cerita ibu bapa atau datuk dan nenek mereka sendiri. 


Minggu 5

Tugasan minggu kelima adalah pembinaan laman web secara individu yang mana isi kandungan laman tersebut adalah hasil tugasan amali untuk minggu pertama hingga kelima. Tugasan ini merangkumi pencarian bahan-bahan pengajaran Bahasa Melayu menggunakan enjin carian, mengkategorikan bahan-bahan tersebut dan menyimpannya ke dalam folder mengikut minggu, memuat naik bahan-bahan yang telah siap ke laman web yang telah dihasilkan dan melengkapkan kandungan laman dengan maklumat tambahan. Selain itu, dalam tugasan minggu kelima juga terdapat tugasan kedua iaitu penghasilan produk yang mana pelajar dikehendaki membina pakej pembelajaran Bahasa Melayu berpandukan Dokumen Standard Sekolah Rendah. 

Dalam tugasan penghasilan produk tersebut pelajar hendaklah menggunakan alat pengarangan dan diintegrasikan dengan elemen multimedia seperti teks, animasi, grafik, audio, layout, dan interaktif. Penghasilan produk ini turut diserahkan dalam bentuk softcopy sama ada DVD atau CD. Sepanjang menjalankan tugasan minggu kelima ini, pelbagai pengetahuan baharu yang diperoleh terutama dalam tugasan kedua. Pembinaan laman web bukanlah suatu yang mudah bagi individu yang kurang mahir tentang penggunaan teknologi. Namun begitu, tunjuk ajar yang dilakukan secara terus daripada pensyarah pembimbing mata pelajaran ini dan rakan-rakan lain yang berkemahiran dapat membantu menyelesaikan permasalahan tersebut. 

Pengetahuan dan kemahiran berkaitan teknologi amat penting untuk setiap individu masa kini. Kehidupan yang kini lebih memerlukan penggunaan teknologi merupakan faktor seseorang itu harus memiliki kemahiran tersebut. Dalam konteks pendidikan masa kini juga, tidak terkecuali daripada penggunaan teknologi malah penggunaan tersebut sudah menjadi satu kewajipan. Bermula dari peringkat pengurusan sekolah hinggalah pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknologi masa kini. Oleh itu, bagi meningkatkan kemahiran dalam penggunaan teknologi seseorang individu itu hendaklah belajar sama ada secara formal mahu pun tidak formal mengenai teknologi tersebut. 




1 ulasan: